Sunday, November 28, 2010

Cinta Yg Semakin Kabur (3)

Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.  Yakni cinta kepada Allah!  Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Dia akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.  Dan hanya dengan memburu cinta kepada Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.

Cinta itu umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.  Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya.  Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.

Allah berfirman yang bermaksud:  “Hai golongan jin dan manusia!  Apakah belum datang kepadamu rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?  Mereka berkata: “Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”.  Kehidupan dunia telah menipu mereka dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, baawa mereka ialah orang yang kafir.”  (Surat al-An’am 6:130).

Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat yang betul.  Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagian akhirat. Jadilah dunia umpama kebun yang kita tuai di akhirat.  Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.  Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama disitu… ia hanya jambatan.  Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan.  Rumah kita yang hakiki ialah di dalam syurga.

Jika ada rasa-rasa itu dalam jiwa ketika memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.  Orang yang ada dalam hatinya cinta kepada Allah, sentiasa  ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.  Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.  Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.

Apakah neraka dunia itu?  Neraka  dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar.  Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya.  Dan hambarnya perbualan di dalam rumah mewah ibarat istana.  Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!

Lihatlah Rasulullah s.a.w.  Betapa pun Baginda sibuk, tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah, isterinya.  Betapa besar perjuangannya, tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya.  Ketika Baginda kaya, dikorbankannya harta, ketika Baginda miskin, dihadapinya dengan sabar kerana dalam hatinya tetap ada cinta.  Yakni cinta yang lebih besar, cinta kepada Allah!.

Justeru, masih bersinar atau sudah pudar cinta di dalam rumah tangga kita?  Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya.  Ayuh, lihat kembali “dimana Allah” dalam rumah tangga kita.  Di mana solat jemaah, dimana tazkirah, di mana sedekah, di mana bacaan al-Quran….  Di manakah semua “ayat-ayat cinta” itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta semakin mahal, makanan yang semakin lazat, kewangan yang semakin banyak?

Pandang wajah isteri, renung wajah suami.  Tatap lama-lama. Bila kali terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu?  Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kesihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati? Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar mejadi “haiwan berteknologi” dalam belantara dunia materialisme yang semakin ketandusan cinta?

Lalu, di kejauhan  hati ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya.  Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra dengan hati yang terus berkata-kata, “inilah temanku di dunia untuk menuju syurga!”.

Carilah cinta kita yang semakin kabur.Jangan di biarkan ianya terus hilang.  Insya-Allah  kita temui semula cinta itu di tempat, pada suasana dan pada masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.  Bukankah kita bertemu kerana Allah?  Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?  Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah?

Kembalilah ke sana.  Carilah kekuatan itu semula.  Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya.  Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta.  Renungilah mata isteri atau suamimu, carilah cinta itu di situ.  Masih ada?  Atau telah tiada?

Dan kemudian genggam erat tangannya.  Mari kita gilap semula cinta yang semakin kabur agar ia terus sinar dan menyinari manusia lain!

No comments:

Post a Comment